Selamat Pulang Wira Negara...
SEPANG, 6 Jun - Syukur Alhamdulillah, kesemua 12 krew Mavi Marmara selamat tiba di tanah air jam 5.40 pagi tadi. Bagi mereka tiada yang lebih menggembirakan apabila melihat sanak saudara dan keluarga tercinta setia menanti kepulangan seawal jam 3 pagi lagi. Tiada ungkapan atau kata-kata yang terucap kecuali derai air mata dan lafaz syukur.
Aku bersama krew media lain yang membuat liputan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang telah bersiap sedia sejak jam 3 pagi turut berkongsi kegembiraan, dan berasa bangga menyambut kepulangan kesemua sukarelawan yang boleh diiktiraf sebagai wira.
Selain kegembiraan, petugas media juga tidak terkecuali merasa hiba melihat peluk cium sukarelawan misi bantuan kemanusia ke Gaza bersama anak, isteri, mak, ayah dan saudara mara. Tidak sanggup rasanya untuk merenung tepat ke dalam mata para sukarelawan yang berkaca-kaca, khuatir terganggu emosi.
Tercapai juga hasrat aku mendengar cerita daripada para sukarelawan, pengalaman yang paling berharga buat mereka. Ada yang cerita mereka disoal siasat seperti penjenayah, tangan digari lebih 15 jam, makan minum tidak terurus, barangan dirampas dan yang paling tragis ada yang ditembak dengan peluru getah dan kepala sentiasa diaukan senjata.
Walau apapun cerita mereka, semua itu merujuk kepada kekejaman Israel yang tidak berperikemanusiaan. Difahamkan, pasukan tentera rejim zionis itu telah mempunyai senarai nama sukarelawan yang mahu mereka hapuskan, yang terdiri daripada orang yang berpengaruh dan yang boleh disifatkan sebagai ancaman kuat kepada mereka. Jumlahnya adalah 9 orang yang maut dibedil peluru hidup dalam tragedi rampasan Mavi Marmara, Isnin lepas.
Dan bagi 6 lagi rakyat Malaysia dalam Rachel Corrie, kami doakan anda semua selamat tiba ke tanah air. Mereka dijadualkan tiba di KLIA kira-kira jam 7 malam Isnin. Syukur Alhamdulillah anda semua selamat.
Comments
Post a Comment